HAMZAH ZAINUDDIN

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, langkah itu boleh dilaksanakan menerusi kerjasama syarikat-syarikat peruncit yang terlibat dengan KR1M 2.0.

Menurut beliau, produk-pro­duk IKS yang terlibat itu berkua­liti tinggi dan dapat dibekalkan secara konsisten.

“Bagaimanapun, perkara itu perlu dikaji dengan lebih te­liti mengenai kaedah pelaksanaan dan tidak dilakukan secara tergesa-gesa kerana perlu mengambil kira faktor lain berkaitan seperti lokasi, pengangkutan dan pusat pengedaran,” katanya semasa sesi pertanyaan menteri dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soa­lan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (BN-Tanah Merah) yang meminta kementerian itu menjelaskan peluang yang boleh diberikan kepada IKS, khususnya usahawan bumiputera di luar bandar.

ikmal hisham
IKMAL HISHAM

Mengulas lanjut Hamzah berkata, pelaksanaan KR1M 2.0 akan memberi tekanan terhadap rangkaian perniagaan di negara ini agar menurunkan harga barangan untuk kekal berdaya saing.

Kata beliau, strategi itu juga berupaya mempelbagaikan pilihan barangan kepada pengguna.

“Kita juga telah bekerjasama dengan syarikat-syarikat pengeluar makanan besar seperti Nestle bagi membolehkan produk ber­kenaan dipasarkan menerusi kedai runcit besar,” jelasnya.

Hamzah menambah, kerajaan juga akan membenarkan kedai runcit persendirian untuk be­kerjasama dengan semua premis perniagaan yang telah dikenal pasti.

“Kita mahu melihat produk-produk yang dijual melalui kedai runcit persendirian ini menggunakan jenama yang sama,” katanya.