IDRIS JUSOH

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, sejak 20 tahun lalu, kos yuran pengajian di universiti awam tidak dinaikkan, sekali gus menolak tuduhan bahawa kos pendidikan tinggi di Malaysia adalah mahal.

Malah secara perbandingan, katanya, kesan pemberian subsidi menyebabkan pengajian perubatan hanya memerlukan kos kira-kira RM13,700 untuk tempoh lima tahun iaitu sekitar RM2,740 setahun.

“Dengan angka itu, kalau dikira dalam tempoh 10 bulan boleh dianggarkan bayaran bulanan hanya RM270 iaitu boleh dikatakan lebih murah daripada kos pembayaran di tadika,” katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong bagi kementeriannya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Idris memberitahu, kos itu jauh lebih murah daripada kos pengajian antara RM300,000 hingga RM400,000 yang dibayar di universiti lain, khususnya di negara asing.

Dalam pada itu beliau berkata, sumbangan semua pihak terhadap usaha meningkatkan kualiti pendidikan tinggi menyebabkan universiti tempatan semakin diiktiraf oleh badan-badan antarabangsa.

“Universiti Malaya (UM) dijangka tergolong antara 100 universiti terbaik di dunia, insya-Allah selewat-lewatnya tahun depan," katanya.