FADILLAH YUSOF

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, langkah itu merupakan penambahbaikan oleh kementerian itu berbanding kaedah sedia ada yang menggunakan pendekatan mengikut situasi.

Katanya, menerusi pendekatan baharu itu, satu pangkalan data akan diwujudkan menerusi audit terhadap keadaan jalan, perparitan dan juga kea­daan sekeliling sebelum tindakan lanjut diambil.

“Ketika ini ada kerja rutin, berkala dan kecemasan bergantung kepada keadaan. Kita tetapkan pada kadar kontrak dan apabila dilaksanakan, audit akan dilakukan untuk tujuan pembayaran.

“Pada masa akan datang, kita beralih kepada kontrak berdasarkan prestasi. Ini bermakna kita akan nilai, buat audit pada semua keadaan jalan, perparitan, keadaan sekeliling supaya ada pangkalan data.

“Menerusi pangkalan data itulah kita akan nilaikan pres­tasi setiap syarikat konsesi yang telah dilantik untuk menyelenggara jalan. Insya-Allah bila kontrak baharu dilaksanakan, semua perlu berasas kepada prestasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2017 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kerja Raya dalam persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Mengenai kaedah tampalan jalan berlubang yang dibangkitkan kerana didakwa tidak menyelesaikan masalah, Fadillah menjelaskan bahawa langkah itu merupakan sebahagian daripada prosedur operasi standard kementerian.

“Apabila berlaku sahaja jalan berlubang, maka syarikat konsesi akan membuat tampalan dalam tempoh 24 jam, ini bagi menjamin keselamatan supaya lubang-lubang itu ditutup.

“Selepas itu barulah tampalan kekal akan dibuat. Ada proses yang perlu diikuti,” jelas beliau.