Pensyarah Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Dr. Asan Ali Golam Hassan berkata, bantuan rakyat perlu berbeza dengan bantuan kebajikan masyarakat.

Kata beliau, bantuan rakyat itu berbentuk sementara bagi golongan yang tiada pekerjaan atau pendapatan untuk tempoh yang tertentu.

“Terdapat tiga golongan ia­itu golongan miskin yang tidak produktif, golongan miskin yang produktif dan golongan yang mudah menjadi miskin (vulnerable groups).

“Untuk golongan pertama, telah ada dan boleh diperbaiki dengan menambah serta memudahkan bantuan kebajikan masyarakat untuk golongan miskin yang tidak produktif se­perti warga tua atau orang kurang upaya (OKU) manakala untuk golongan miskin yang produktif pula boleh diberikan program atau latihan keusahawanan atau bantuan modal untuk mereka.

“Bantuan rakyat diperlukan bagi golongan ketiga sebagai satu sistem jaringan sosial untuk membantu mereka supaya tidak miskin dalam tempoh masa tertentu apabila berlaku sesuatu bencana di luar kawalan seperti kegawatan ekonomi, pekerja diberhentikan, bencana alam, banjir, ombak besar, petani, pesawah, nelayan yang tiada hasil pendapatan, penyakit atau kemalangan yang memerlukan pekerja berehat seketika, ditamatkan perkhidmatan atau cuti tanpa gaji,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Memetik laporan portal The Malaysian Insight semalam, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, BR1M akan dikurangkan sedikit demi sedikit sebelum dihapuskan dalam masa terdekat.

Kata beliau, langkah itu terpaksa dilakukan memandangkan rakyat terlalu dimanjakan oleh pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dalam pada itu, Asan Ali berkata, golongan yang tiada sumber pendapatan perlu dibantu oleh kerajaan yang memerintah atas dasar perkongsian hasil cukai dan pendapatan negara dalam tempoh tidak mempunyai pendapatan tetap serta boleh ditamatkan selepas mereka bekerja semula.

“Secara amnya, sesiapa sahaja boleh termasuk dalam golongan yang mudah menjadi miskin jika mereka tidak mempunyai simpanan atau harta yang cukup dalam tempoh mereka tiada sumber pendapatan tetap (menganggur dalam tempoh masa tertentu sebelum mereka boleh bekerja) bukan kerana malas tetapi kerana faktor di luar kawalan mereka,” katanya.

Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA) Datuk Dr. Jacob George juga berpandangan pelbagai bentuk bantuan yang dikhaskan untuk golongan sasaran tidak harus diberhentikan sebaliknya perlu diteruskan.

Kata beliau, menjadi tanggungjawab sebuah kerajaan yang mesra rakyat untuk meneruskan segala bantuan kepada golongan sasaran.

“Bagaimanapun, saya setuju rakyat tidak boleh dimanjakan seperti dahulu yang mana individu yang tidak berada dalam golongan sasaran turut mendapat BR1M. Pemberian BR1M adalah satu keistimewaan yang hanya boleh diberikan oleh kerajaan yang kaya.

“Jadi, dalam keadaan sekarang yang mana kerajaan tertekan dengan pelbagai isu seperti kewangan, saya rasa rakyat tidak akan marah atau mempunyai persepsi negatif kerana mereka faham tanggungjawab mereka sebagai rakyat menolong kerajaan berdepan dengan situasi mencabar ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Ahmad Yazid Othman pula berkata, langkah mengurangkan mahupun menghapuskan BR1M boleh dilaksa­nakan dengan syarat kadar gaji rakyat harus dikaji semula serta diselaraskan mengikut kos sara hidup ketika ini.

“Langkah itu boleh dijalankan tetapi sebelum ia dilakukan, kerajaan perlu pastikan kadar gaji dikaji semula mengikut keadaan semasa. Gaji kita terlalu rendah berbanding dengan produktiviti, jadi kita kena pastikan sebelum BR1M diturunkan dan dihapuskan, gaji juga perlu dinaikkan secara berperingkat supaya rakyat cukup untuk menanggung kos sara hidup.

“Jika tidak, ia akan mendatangkan masalah besar kerana sebahagian besar rakyat mungkin telah biasa dengan BRIM yang di­terima secara berkala untuk membantu perancangan jadi kerajaan harus memastikan perancangan mereka tidak terjejas dengan serta merta selepas pelaksanaan itu,” katanya.