Arahan itu dibuat oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee selepas mendapati Kok Wai melanggar Peraturan Mesyuarat dengan mencetuskan kekecohan semasa Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. M. Loga Bala menggulung perbahasan Bajet 2018 peringkat jawatankuasa bagi kementeriannya.

Kok Wai tidak berpuas hati apabila Loga Bala bertanya sama ada Pengerusi DAP itu mempunyai kaitan dengan operasi pusat perjudian di kawasan Parlimennya.

“Kami juga mendapat tahu bahawa banyak operator pusat perjudian di kawasan Cheras menggunakan nama Yang Berhormat. Adakah mereka ini kroni-kroni?” katanya.

Kok Wai seterusnya mencelah dan meminta Ronald mengarahkan Loga Bala menarik balik dakwaan tersebut.

Walau bagaimanapun, Ronald meminta Kok Wai membuat permohonan terlebih dahulu dan pada masa, beliau mengingatkan Loga Bala agar tidak merujuk kepada sifat individu seseorang Ahli Parlimen.

Loga Bala menjelaskan bahawa beliau tidak berniat untuk membuat sebarang tuduhan terhadap Kok Wai dan hanya memberitahu apa yang dimaklumkan kepadanya.

Namun, Kok Wai masih tidak berpuas hati dan tetap mendesak Loga Bala menarik balik dakwaannya itu.

Ronald terpaksa mengarahkan Kok Wai keluar dari dewan kerana mengganggu sesi penggulungan itu secara berterusan.- UTUSAN ONLINE