LIM KIT SIANG

Kekecohan berlaku apabila Datuk Mohamad Zulkifly Jusoh (BN-Setiu) mencadangkan agar Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia mengambil tindakan terhadap Kit Siang.

“Gelang Patah (Kit Siang) masih ada, seorang senior tetapi bersikap begini, minta diambil tindakan terhadapnya.

“Ini memang perangai pembangkang, bila kena atas batang hidung sendiri, tak mahu me­ngaku,” katanya sebaik sahaja sesi soal jawab selesai.

Pertikaman lidah seterusnya berlaku selama kira-kira 20 minit apabila wakil-wakil pembangkang antaranya G. Manivannan (PKR-Kapar) dan Sim Chee Keong (DAP-Bukit Mertajam) bangkit mempertahankan sikap degil Kit Siang itu.

Semalam, Kit Siang di­gantung dari­pada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama enam bulan mengikut Peraturan Mesyuarat 44 (3) kerana mengingkari arahan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Keputusan itu diambil berikutan tindakan Kit Siang yang berterusan mengganggu pembentangan usul laporan kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sikap degil Kit Siang yang enggan meninggalkan sidang Dewan Rakyat telah menyebabkan beliau disindir dengan gelaran ‘hantu’ oleh penyokong-penyokong kerajaan termasuk Budiman Mohd. Zohdi (BN-Sungai Besar).

Pandikar Amin juga seolah-olah menyindir Kit Siang apabila menyatakan beliau tidak nampak kehadiran Ahli Parlimen Gelang Patah itu di dalam dewan.

Beliau menambah, keputusan untuk menggantung Kit Siang yang dibuat semalam adalah jelas tetapi pemimpin veteran DAP itu tetap tidak mahu mematuhi arahan tersebut.

Kit Siang dalam sidang akhbar di bilik media bangunan Parlimen selepas itu berkata, beliau tetap akan menghadiri sidang Dewan Rakyat.

Lim Kit Siang