Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, hal ini berkemungkinan Khairy tidak hadir mesyuarat jawatankuasa pembangkang yang dijalankan malam tadi.

Bagaimanapun, jelasnya, UMNO tetap bersikap terbuka dan tidak akan menyalahkan Khairy.

“Kita buat keputusan dan raikan perbezaan pendapat. Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mahu ambil sikap keterbukaan.

“Kita bincang dengan Pas, kalau kita tidak dibenarkan bercakap dalam Dewan Rakyat, kita bercakap kepada media. Setakat ini tidak ada masalah berbangkit. Kita tidak buat keputusan untuk boikot sidang Dewan Rakyat. Kita buat keputusan kita akan bercakap kepada media,” katanya dalam sidang akhbar di Menara Dato Onn, di sini hari ini.

Ahli-ahli Dewan Rakyat bertindak keluar dewan selepas membantah pelantikan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof.

Difahamkan, bantahan tersebut kerana notis pemberitahuan pelantikan Yang Dipertua Dewan Rakyat didakwa tidak mengikut prosedur.

Notis tersebut dimaklumkan sepatutnya diserahkan tidak kurang daripada 14 hari sebelum Parlimen mula bersidang.

Bagaimanapun, Khairy menjadi satu-satunya ahli Dewan Rakyat pembangkang yang tidak turut sama keluar dewan pagi tadi yang mencetuskan pelbagai persoalan. - UTUSAN ONLINE