Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) berkata, walaupun faktor luaran tidak dinafikan turut membawa kepada perkara tersebut namun soal faktor dalaman juga adalah amat pen­ting.

“Sudah pasti kita tidak nafikan bahawa dari segi aliran pelaburan bergantung kepada faktor dalaman dan luaran. Saya tidak nyatakan 100 peratus adalah faktor dalaman atau luaran, tapi kita tidak boleh nafikan bahawa soal dalaman itu sangat penting,

“Saya bercakap dengan pe­ngurus-pengurus dana yang melabur dalam pasaran ekuiti, saham di Malaysia, mereka tidak mahu datang ke sini di­sebabkan ketidaktentuan politik, dasar dan hala tuju ekonomi. Itu bukan faktor luaran, tiada kaitan dengan apa yang berlaku antara Amerika Syarikat, China, Asia Barat dan sebagainya tetapi itu berlaku di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Seperti yang dijelaskan Khairy, nilai FDI menjunam pada suku kedua 2018 dengan jumlah aliran masuk bersih hanya RM2.8 bilion berbanding RM12 bilion pada suku pertama tahun ini.

Bekas Menteri Belia dan Su­kan itu turut membidas RSN Rayer (PH-Jelutong) yang men­celah perbahasannya sambil mendakwa kononnya keengganan pelabur asing untuk mela­bur ke negara ini adalah berpunca daripada amalan ra­suah segelintir pihak dalam kerajaan terdahulu.

“Kalau itu logiknya, selepas Pakatan Harapan (PH) ambil alih, mereka pasti datang begitu ramai sekali, tetapi mereka tidak berada di sini, ini fakta, saya bentangkan fakta, bukan saya buat cerita,” katanya.