Timbalan Perdana Menteri berkata, jaminan itu berdasarkan keupayaan pihak berkuasa untuk menangkis sebarang ancaman luar yang cuba mencerobohi sempadan negara.

Beliau turut menyatakan komitmen bahawa keselamatan di ke­semua pintu sempadan tanah air akan sentiasa diberi perhatian khusus, namun ia perlu mengambil kira keupayaan kewangan kerajaan untuk menyediakan prasarana dan kekuatan anggota penguatkuasaan yang memerlukan kos tinggi.

“Kementerian sentiasa melihat isu keselamatan sempadan serta kedaulatan negara sebagai elemen yang signifikan kepada kesejahteraan hidup rakyat dan pembangunan negara secara berterusan.

“Malaysia tidak terkecuali dalam menghadapi pelbagai bentuk ancaman yang boleh menggugat ke­selamatan dan kedaulatan negara. Justeru, keselamatan sempadan diperketat dari semasa ke semasa supaya tidak mudah dibolosi oleh anasir luar yang boleh mengganggu-gugat kestabilan negara,” kata­nya dalam jawapan bertulis dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Nasrudin Hassan (Pas-Temerloh) berhubung langkah keselamatan yang diambil kerajaan di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand bagi menangani kegiatan jenayah.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, dalam memastikan ke­selamatan itu, kerajaan mengambil langkah-langkah seperti penubuhan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) bagi meningkatkan kawalan di sempadan Malaysia selain akan menggubal Akta Aksem bagi memperkukuh serta memperluaskan skop memerangi aktiviti jenayah rentas sempadan termasuk Sabah dan Sarawak.

Kata beliau, bermula tahun ini, setiap Aksem negeri telah me­laksanakan operasi bersepadu di sempadan darat negara dengan kekerapan dua kali seminggu dan memfokuskan operasi di kawasan Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Padang Besar.

“Selain itu, kajian menaiktaraf pagar keselamatan sedia ada dan membina pagar keselamatan baharu di sempadan dengan memberi tumpuan penggunaan peralatan canggih seperti dron, kamera litar tertutup (CCTV) dan mesin pengimbas untuk mengesan pergerakan dan barangan yang dibawa masuk dan keluar negara.

“Menubuhkan Unit Risikan Sempadan (URB) yang berfungsi mendapatkan maklumat risikan dan bekerjasama dengan pihak berkuasa Thailand untuk bertukar-tukar maklumat antara kedua-dua negara,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, kerajaan turut mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Bersama Malaysia-Thailand dalam menangani kegiatan jenayah di peringkat PDRM dan Polis Diraja Thailand bagi membincangkan isu keselamatan sempadan.

“Mesyuarat bilateral tahunan antara Pasukan Gerakan Marin (PGM) dengan Polis Marin Thailand (RTMP) untuk mengadakan aktiviti Rendezvous (RV) di Markas Taktikal PGM Wilayah 3, Pengkalan Kubor, Kelantan bersama RTMP Narathiwat, Thailand dan Markas Operasi PGM Wilayah 1 Langkawi, Kedah bersama RTMP Satun, Thailand,” katanya.