Seri Paduka bertitah, ancaman ke atas keselamatan dan keamanan negara merupakan sesuatu yang nyata dan muncul dalam pelbagai bentuk.

“Beta menyeru kerajaan terus­ mempertingkatkan tahap kese­diaan terutamanya dalam penguat­kuasaan termasuk di ruang siber, keupayaan risikan, rondaan di sempadan dan perairan negara serta usaha membanteras aktiviti pemerdagangan orang,” titah Seri Paduka ketika merasmikan pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Parlimen Ke-13 di Dewan Rakyat hari ini.

Sultan Muhammad V turut mengingatkan semua pihak bahawa media sosial amat berpe­ngaruh dalam membentuk nilai-nilai dan budaya masyarakat.

Titah Seri Paduka, semua pihak hendaklah memainkan peranan masing-masing untuk mempertahankan budi pekerti dan nilai-nilai baik dalam masyarakat.

“Dalam hal ini, beta amat menyokong cadangan untuk menggubal undang-undang bagi menangani penyebaran berita palsu dan fitnah di media sosial,” titah Seri Paduka.

Terdahulu, keberangkatan ti­ba Seri Paduka disambut oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri S. A. Vigneswaran.

Turut menyambut ketibaan Seri Paduka ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Istiadat diteruskan dengan alunan lagu kebangsaan, Negaraku yang dimainkan oleh Pancaragam­ Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dari Kem Perdana Sungai Besi, dike­tuai Mejar Muhamad Nor Azizan Yahya diikuti tembakan meriam sebanyak 21 das.

Seri Paduka seterusnya berke­nan menerima sembah Hormat Diraja daripada Mejar Azlan Shah Baharom dari Batalion Pertama RAMD sebelum mencemar duli memeriksa kawalan kehormatan yang dibarisi empat pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat da­ripada batalion sama.

Sidang Dewan Rakyat terakhir sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) itu dijadualkan berlangsung selama 20 hari bermula hari ini hingga 5 April sebelum diteruskan dengan sidang Dewan Negara mulai 16 April hingga 30 April ini.