Tajuddin membangkitkan per­kara itu ketika mengemukakan soalan tambahan dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

KUALA LUMPUR, 25 Julai 2018 - Ahli Parlimen Pasir Salak Datuk
TAJUDDIN ABDUL RAHMAN

Beliau yang tampil menyo­kong cadangan projek kereta nasional baharu itu mendakwa, kegagalan Proton sebagai kereta nasional disebabkan ketika itu Perdana Menteri yang sama, iaitu Perdana Menteri keempat.

“Mula-mula Hicom buat, selepas itu syarikat tersebut tak jadi buat, dijual kepada syarikat DRB pula. DRB saya tahulah, budak-budak daripada syarikat itu adalah budak-budak saya dahulu, mereka kerja dengan saya, bukan pandai sangat pun, tetapi bagi kepada mereka untuk membangunkan kereta Proton sebagai kereta nasional, tak boleh,” katanya.

Menurut Tajuddin, kebanyakan syarikat yang ada dalam industri automotif di negara ini adalah pengedar kepada kereta luar.

“Semua mahu cari keuntungan dengan cepat, tidak ada niat untuk membangunkan kereta nasional negara,” ujarnya.

Menjawab soalan Tajuddin yang meminta kerajaan menyatakan sama ada sedia menghantar anak tempatan ke syarikat pembuatan kereta di luar negara sebagai perancangan rapi dalam membangunkan projek kereta nasional baharu, Dr. Ong Kian Ming berkata, lebih 80 peratus vendor tempatan menghasilkan komponen kenderaan di negara ini, sekali gus membolehkan projek kereta nasional baharu itu dimajukan.

Menurut Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu, peratusan tersebut amat tinggi berbanding Vietnam yang hanya memiliki 20 peratus vendor tempatan yang menghasilkan komponen kenderaan.

“Berhubung isu tenaga kerja berkemahiran tinggi, dari segi pembangunan vendor, lebih 80 peratus komponen kereta yang dihasilkan di Malaysia adalah vendor tempatan. Malah, mereka juga telah pergi ke beberapa negara luar seperti Jepun untuk mendapatkan kemahiran,” katanya.

Dalam pada itu Kian Ming berkata, pihaknya telah menerima 14 cadangan daripada pihak swasta dan individu berhubung projek kereta nasional baharu tersebut.

Menjawab soalan mengenai jumlah pelaburan diperlukan dan penglibatan kerajaan dan swasta untuk menjayakan projek tersebut, Kian Ming berkata, projek kereta nasional baharu itu akan dipacu sepenuhnya oleh pihak swasta.