NOH OMAR
NOH OMAR

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar berkata, perkara itu merupakan antara inisiatif terkandung dalam Akta Perbadanan Pengurusan Perumahan Awam Negara yang sedang digubal kerajaan.

Katanya, akta itu akan dibentangkan di Parlimen tidak lama lagi.

“Dulu bila kerajaan buat rumah, penyelenggaraan diserahkan kepada badan pengurusan bersama (JMB). Tetapi ketika turun padang, kita lihat penyelenggaraan rumah kos rendah dan PPR ini cukup menyedihkan.

“Saya faham, ku­tipan JMB juga kadangkala menyedihkan. Saya ajukan perkara ini kepada Perdana Menteri dan beliau bersetuju untuk kerajaan membantu menam­pung kos selenggara rumah kos rendah dan PPR 100 peratus, tidak perlu guna duit JMB,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Bajet 2018 peringkat dasar bagi kementeriannya dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam pada itu, Noh memberitahu, beliau akan membawa cadangan kepada Kementerian Kewangan supaya memudahkan isu pembeli rumah pertama khususnya dalam kalangan belia yang gagal mendapatkan pinjaman kerana nama berada dalam senarai Sistem Rujukan Maklumat Kre­dit Berpusat (CCRIS).

Katanya, perhatian akan diberikan kepada pembeli rumah pertama yang gagal membayar pinjaman berjumlah RM3,000 ke bawah sehingga dimasukkan ke dalam CCRIS.

“Kadangkala mereka bukan pinjam pun, hanya jadi penjamin tetapi disebabkan peminjam tidak bayar, mereka terpaksa tanggung.

“Jadi saya akan bawa isu ini supaya kita boleh beri kelulusan kepada golongan ini mendapatkan pinjaman,” katanya.