Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, perkara itu adalah hasil audit dijalankan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Katanya, audit berkenaan mendapati ada perbezaan dari segi nilai dikemukakan oleh ejen kepada pelanggan dengan yang diisytiharkan kepada JKDM.

Jelas beliau, disebabkan penipuan itu, bukan hanya kerajaan, tetapi juga rakyat menanggung kerugian manakala ejen tersebut pula mengaut keuntungan.

“Caranya mereka (ejen) kemukakan borang dengan nilai berbeza kepada pelanggan dan juga JKDM. Maksudnya pelanggan bayar nilai lain, isytihar pada JKDM nilai lain.

“Kita akan ambil tindakan, kita telah kenal pasti ejen-ejen ini daripada 3,000 ejen yang mengendalikan urusan keluar masuk barang,” katanya ketika menggulung perbahasan Bajet 2018 peringkat dasar di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengulas lanjut, Johari memberitahu, mana-mana ejen yang ditangkap akan dikenakan tindakan tegas termasuk ditamatkan lesen secara automatik dan didakwa di mahkamah.

Dalam pada itu, Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-undang Perbekalan 2018 untuk bacaan kali kedua selepas undian belah bagian dilakukan.

Proses undian belah bagian dilakukan selepas Mahfuz Omar (Pas-Pokok Sena) mencadangkannya dengan mendapat sokongan 15 ahli Parlimen lain.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin mengumumkan keputusan undian kira-kira pukul 7 malam dengan 107 ahli Parlimen bersetuju manakala 59 lagi tidak.

Menurut Pandikar Amin, 11 lagi tidak mengundi. - UTUSAN ONLINE