Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub berkata ini adalah antara pandangan beberapa pihak yang dikemukakan sebagai satu kaedah 'soft landing' sebelum industri berkenaan dibuka sepenuhnya tanpa monopoli Bernas.

Beliau berkata kerajaan tidak mahu bersifat tergopoh-gapah untuk memperkenalkan model baharu bagi menggantikan Bernas kerana ia melibatkan soal keselamatan makanan negara.

"Sebagai menteri yang diamanahkan, visi kita tidak setakat melihat untuk kita mewujudkan satu badan bagi menggantikan Bernas tanpa lihat visi lebih jauh. Isu makanan adalah isu keselamatan negara.

"Maka beberapa pandangan lebih jelas dan luas perlu diperhitungkan," katanya pada sesi soal jawab lisan di persidangan Dewan Rakyat kepada pertanyaan Rusnah Aluai (PH-Tangga Batu) yang mahu tahu sama ada kerajaan bercadang menubuhkan semula Lembaga Padi dan Beras Negara bagi mengambil alih fungsi Bernas. - BERNAMA