Ab Aziz Kaprawi

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab. Aziz Kaprawi sebaliknya berkata, kesemua pekerja terlibat dalam perjanjian antara KTMB dengan Perbadanan Aset Kereta Api (RAC) itu akan diserap masuk ke dalam anak syarikat milik KTMB.

“Malah, saya jamin gaji, faedah dan sebarang kelebihan yang dinikmati sebagai pekerja KTMB ketika ini tidak akan hilang mahupun berkurangan.

“Kebajikan pekerja itu tetap dijaga kerana perkhidmatan mereka memang diperlukan untuk mengendali industri ini, cuma kita akan me­lakukan pengkhususan. Sebelum ini KTMB macam rojak, buat semua dan selepas ini akan hanya fokus kepada perkhidmatan terbaik kepada pelanggan,” katanya dalam sidang akhbar di bilik media di Parlimen, hari ini.

RNAA merupakan perjanjian antara RAC yang terletak di bawah Kementerian Pengangkutan dengan KTMB.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), J. Solomon meminta kerajaan mengkaji semula cada­ngan mewujudkan perjanjian itu yang dikhuatiri boleh memberi impak besar kepada KTMB selain mengakibatkan kira-kira 4,000 pekerjanya hilang pekerjaan.

Dalam pada itu Ab. Aziz berkata, tidak timbul persoalan perjanjian itu akan menyebabkan KTMB diambil alih oleh pihak swasta memandangkan RAC merupakan badan berkanun Persekutuan dan KTMB pula adalah syarikat milik penuh kerajaan.

Katanya, RNAA adalah selari dengan klausa 89 Akta Keretapi 1991 untuk menga­singkan antara pengendali per­khidmatan kereta api yang mana diuruskan oleh KTMB dan pemilikan, pengurusan dan penyelenggaraan segala aset kereta api bakal diuruskan oleh RAC.

Selain itu, Ab. Aziz turut me­nyangkal tuduhan kononnya RNAA bakal menyebabkan harga tiket dan perkhidmatan lain yang ditawarkan oleh KTMB akan meningkat.

“Malah, tuduhan bahawa perjanjian ini akan menyebabkan KTMB semakin terdedah kepada ketirisan dan kronisme adalah tidak betul,” katanya.