Latif Ahmad

Datuk Dr. Abd Latiff Ahmad (BN-Mersing) berkata, penggubalan akta itu akan memberi keyakinan kepada orang ramai untuk mewakafkan harta mereka yang akan diuruskan oleh sesebuah institusi supaya dapat memberi manfaat kepada orang ramai.

“Sebagai contoh di Turki, di mana sebelum akta wakaf ditubuhkan hanya terdapat 73 aset sahaja didermakan kepada institusi penaziran untuk diuruskan sebagai harta wakaf, tetapi apabila akta tersebut diperkenalkan pada 1967, lebih 4,000 aset didermakan sebab orang lebih yakin (untuk mewakafkan harta mereka) apabila ada akta.

“Di negara kita, saya mendapat maklum daripada Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji, terdapat lebih 11,000 aset wakaf yang bertaburan di seluruh negara,” katanya semasa mem­bahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2018 peringkat dasar pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Walaupun ketika ini pengurusan harta wakaf terletak di bawah bidang kuasa majlis agama Islam negeri-negeri, beliau berkata pe­ngenalan akta itu boleh dilakukan seperti Akta Suruhanjaya Perkhid­matan Air Negara 2006 yang memberi kuasa kepada sebuah suruhanjaya untuk mengawal selia pengurusan air walaupun komoditi itu merupakan aset kerajaan negeri.

Menerusi pengenalan akta itu, Abd Latiff turut mencadangkan agar sebuah institusi pengurusan harta wakaf ditubuhkan untuk me­nguruskan harta dan aset-aset wakaf di seluruh negara selain bertindak me­ngumpul data-data berkaitan dengan harta wakaf yang ada.

Katanya, mene­ru­si pengurusan le­bih sistematik dan tersusun, harta atau aset yang diwakafkan mampu digembleng untuk menjana pendapatan, kepada institusi pengurusan harta wakaf itu dan negara.

“Wakaf boleh wujudkan pekerjaan, wakaf boleh membantu kerajaan untuk membina hospital dan universiti, wakaf juga boleh menjadi antara penggerak ekonomi negara dan tidak mustahil aset wakaf ini boleh berkembang kepada jutaan dan bilion ringgit, seterusnya dapat membeli infrasturuktur seperti Lebuh raya Utara Selatan,” katanya. – BERNAMA