Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, berdasarkan Resolusi 181 PBB, Baitulmuqaddis diletakkan sebagai kawasan yang menjadi pertikaian dan status akhir kawasan tersebut mesti diselesaikan menerusi penyelesaian dua negara antara Palestin dan Israel.

“Saya ingin tegaskan bahawa sememangnya menjadi impian serta harapan rakyat Malaysia untuk menyaksikan penubuhan Kedutaan Malaysia di Baitulmuqaddis dan ini sememangnya adalah matlamat akhir yang ingin direalisasikan oleh Malaysia.

“Tetapi keputusan Malaysia untuk membuka kedutaan di Baitulmuqaddis hanya ditentukan setelah status muktamad bandar tersebut diputuskan melalui proses penyelesaian antara Palestin dan Israel,” katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Kamarudin Jaffar (PKR- Tumpat) yang mahu mengetahui sama ada kerajaan bercadang menubuhkan kedutaan di Baitulmuqaddis. - UTUSAN ONLINE