Jelas Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Sivarraajh akan membuat rayuan dalam tempoh 14 hari yang ditetapkan.

Katanya, apabila Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan Sivarraajh dan menyebabkan kemungkinan satu pilihan raya kecil diadakan, pihak yang tidak berpuas hati boleh membuat rayuan ke Mahkamah Persekutuan.

"Sivarraajh boleh memfailkan notis rayuan dalam masa 14 hari dari tarikh keputusan sepertimana termaktub di bawah Seksyen 36A(2) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

"Jika dirujuk Seksyen 36C pula, keputusan Hakim Pilihan Raya adalah muktamad hanya setelah tiada sebarang rayuan yang difailkan dalam masa 14 hari dari tarikh keputusan," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof hari ini mengarahkan Sivaraajh keluar dewan kerana gagal membuktikan perintah penggantungan daripada mahkamah.

Katanya, arahan itu dikeluarkan sementara Sivaraajh mendapatkan pandangan peguam yang pakar dan membuktikan perintah perundangan berkenaan.

Menurut Mohamad Ariff, Sivaraajh perlu mendapatkan nasihat peguam yang pakar untuk memutuskan sama ada rayuannya yang difailkan dalam tempoh 14 hari secara automatik mengakibatkan satu penggantungan keputusan mahkamah. - UTUSAN ONLINE