Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Othman Aziz berkata, kerajaan sedar kos sara hidup di bandar adalah jauh lebih tinggi daripada di luar bandar.

“Maka insya-Allah kerajaan akan melihat semula mungkin bantuan masyarakat miskin bandar boleh ditingkatkan sikit, jadi ini adalah pelan jangka panjang,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad (BN-Mersing) yang ingin tahu sekiranya jumlah bayaran BR1M antaranya sebanyak RM900 yang diberikan kepada isi rumah berpendapatan RM3,001 hingga RM4,000 perlu ditingkatkan bagi mereka yang menetap di bandar.

Dalam pada itu, Othman berkata sebanyak RM25.62 bilion telah diperuntukkan bagi BR1M dari 2012 hingga 2017.