Antara fakta menarik untuk diteliti, setelah 22 tahun menghadiri sidang Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri bagi pihak Barisan Nasional (BN) bermula tahun 1981 hingga 2003, Dr. Mahathir kali ini berada di posisi Perdana Menteri bagi kerajaan Pakatan Harapan. Berdasarkan rekod sejak 1981 sehingga 2003, beliau pernah mempunyai empat orang timbalan yang kesemuanya lelaki iaitu Tun Musa Hitam (1981 hingga 1986), Allahyarham Tun Abdul Ghafar Baba (1986 hingga 1993), Datuk Seri Anwar Ibrahim (1993 hingga 1998) dan Tun Abdullah Ahmad Badawi (1999 hingga 2003).

Pada sidang Dewan Rakyat untuk penggal ke-14 kali ini, Dr. Mahathir mempunyai seorang Timbalan Perdana Menteri wanita iaitu Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Tambah menarik, Wan Azizah sebelum ini pernah menjadi Ketua Pembangkang antara 2004 hingga 2008 sebelum melepaskan jawatan bagi memberi laluan kepada suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selepas itu, pada 2015 hingga 2018, Wan Azizah sekali lagi mengangkat sumpah sebagai Ketua Pembangkang selepas mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh dan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), beliau memenangi kerusi Parlimen Pandan.