Hilmi Yahaya

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya berkata, pesakit yang tidak mampu membayar caj dan kos perkhidmatan di bawah PPBP akan tetap dirawat dan tidak akan diabaikan.

“Pihak kementerian memberi jaminan bahawa etika yang ditetapkan kepada doktor-doktor pakar, mereka mesti merawat pesakit biasa terlebih dahulu sebelum pesakit di bawah PPBP. Jadi tidak timbul mereka mengabaikan pesakit biasa.

“Sebagai contoh dalam kes bersalin pun, jika kedua-dua pesakit sakit hendak bersalin, doktor pakar perlu mengutamakan pesakit biasa dan dalam keadaan ini, perlu memanggil doktor lain untuk membantu pesakit PPBP itu,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Beliau mengulas dakwaan kemungkinan berlaku pengabaian terhadap pesakit biasa di hospital kerajaan yang tidak mampu membayar berikutan pelaksanaan skim PPBP yang akan diperluaskan di lapan buah hospital kerajaan Januari ini.

Ketika ini, skim PPBP hanya diamalkan di Hospital Selayang dan Hospital Putrajaya serta akan diperluaskan di Hospital Besar Kota Bharu, Kuala Terengganu, Kuantan, Temerloh, Ipoh, Kuala Lumpur, Klang dan Seremban.

Skim itu diperkenalkan kementerian bagi memberi pendapatan tambahan kepada doktor-doktor pakar di hospital-hospital kerajaan, sekali gus menggalakkan mereka kekal berkhidmat dengan kerajaan.

Dalam pada itu, beliau berkata, kementerian sentiasa berusaha menambah bilangan doktor-doktor pakar dengan 1,000 pelatih doktor pakar sedang mengikuti latihan di universiti-universiti dalam negara sejak tahun lalu.

“Kita menjangkakan dalam tempoh empat tahun lagi le­bih ramai doktor pakar dapat ditambah apabila mereka tamat latihan pada tahun 2019.

“Dalam masa sama, kita sentiasa mencari kaedah untuk mereka kekal berkhidmat dengan kerajaan walaupun hospital-hospital swasta menawarkan pendapatan lebih 10 kali ganda,” katanya.