KUALA LUMPUR, 28 Ogos 2018 - Senator yang baru di lantik Senator Yusmadi Yusoff pada sidang akhbar, pada Persidangan Dewan Negara di Parlimen di sini hari ini. GAMBAR: SAIFUL BAHAIRI ASHARI / PEMBERITA: SHUKRI/ SHEILA RANI (MEJA AM UTUSAN MALAYSIA) / LUQMAN / SYADATUL (MEJA AM KOSMO).

YUSMADI: Dalam satu sisi, terima kasih kerana saya ‘direhatkan’. Dalam perjuangan ini ada perkara kita perlu belajar.

Lebih-lebih lagi saya tidak mempunyai latar belakang politik dan bukan daripada keluarga politik yang kuat jadi saya perlu belajar sendiri, lihat contoh tertentu.

Saya ambil peluang ‘direhatkan’ itu untuk belajar lagi, jadi apabila masuk semula ke arena politik sebagai Senator, saya le­bih bersedia, faham isu dan lebih penting kematangan dalam politik itu dapat saya manfaatkan.

Bagaimana suasana di Dewan Negara jika dibandingkan de­ngan Dewan Rakyat?

Saya lihat Dewan Negara ada tradisi tersendiri yang saya rasa baik dan perlu dipelajari.

Apa yang berlaku dalam Dewan Negara ini perlu diberi perhatian lebih oleh media dan masyarakat umum kerana bagi saya ia sama penting dengan Dewan Rakyat yang lebih menjadi tumpuan.

Kewujudan Dewan Negara sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan mem­­­punyai asas penting sebagai timbang tara bagi pihak rakyat.

Apa harapan YB sebagai Se­nator?

Saya harapkan Dewan Negara menjadi satu lagi sumber inspirasi kepada masyarakat umum, sebagai wadah yang mampu mempertahankan hak rakyat, sumber pembangunan negara dan lebih penting menjadi kebanggaan kepada rakyat.

Adakah YB akan bawa imej serupa sebagai Ahli Parlimen yang lantang berbahas suatu ketika dulu?

Lantang atau tidak itu subjektif. Ada perkara tertentu tidak perlu bising, yang penting isinya tetapi ada perkara tertentu yang perlu dizahirkan secara strategik untuk mendapatkan perhatian pihak tertentu. Bagi saya yang penting ialah rakyat.

Semasa menjadi Ahli Parlimen, YB berada di blok pembangkang, hari ini pula sebagai Senator di blok kerajaan. Bagaimana perasaannya?

Terus terang saya katakan saya kekok sebab saya sentiasa aktif dalam ambil bahagian cuma sekarang saya perlu lebih konstruktif dalam erti kata lain perlu banyak menawarkan alternatif membina.

Tetapi tidak bermaksud saya akan jadi yes man kepada apa juga dasar kerajaan. Saya akan memainkan peranan sebagai timbang tara kepada kerajaan sebab saya wakili suara rakyat, selain parti.