Pelajar berkenaan, Ahmad Zul Muaz Ahmad Sohairi, 17, juga perlu menduduki peperiksaan itu di Hospital Lipis di sini kerana masih menerima rawatan selepas terbabit dengan kemalangan jalan raya pada 19 September lalu.

“Biarpun terlantar di katil wad ini sejak dua bulan lalu, namun tidak menghalang saya untuk mengulang kaji pelajaran dan menjawab peperiksaan de­ngan sempurna.

“Saya masih tinggal di wad setelah menjalani pembedahan kali kelima pada minggu lalu bagi memasukkan besi di bahagian paha,” katanya ketika ditemui di Hospital Lipis di sini hari ini.

Ahmad Zul Muaz berkata, dia meminta kebenaran pihak hospital untuk tinggal di wad kerana masih sukar bergerak selain kedudukan rumahnya di Kampung Relong di sini agak jauh dengan SMA Al-Maidah Addiniah, Padang Tengku.

“Walaupun berasa rasa sakit di bahagian luka kaki yang dipotong, saya tabah mengulang kaji pelajaran di samping bantuan rakan yang datang berziarah sebelum menghadapi peperiksaan hari ini.

“Saya sering berdoa dan tetap yakin memperoleh keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan ini sekali gus memastikan impian untuk menjejakkan kaki ke menara gading tercapai,” katanya.

Bercerita berhubung kemala­ngan jalan raya yang menimpa­nya, katanya, dia dilanggar sebuah lori satu tan dari arah Padang Tengku menghala ke bandar Lipis yang memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh motosikal ditunggangnya dan mengheretnya sejauh 10 meter.

Anak kedua dari enam ber­adik itu berkata, selama dua hari dia dalam keadaan tidak sedarkan diri dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU), apabila sedar kaki kanannya sudah dipotong berikutan salur darah utama putus.

Sementara itu, Pengarah Pen­didikan negeri, Datuk Rosdi Ismail berkata, seramai 22,514 calon di negeri ini menduduki SPM di 241 buah pusat peperiksaan membabitkan 1,722 petugas bermula hari ini.

Beliau berkata, calon-calon tersebut melibatkan sekolah di bawah Kementerian Pendidikan iaitu seramai 19,455 orang, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) seramai 689 orang, Sekolah Menengah Agama Negeri (1,514), swasta (132), persendirian (667) dan Sekolah Menengah Agama Rakyat (57).