Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching menegaskan berita daripada akhbar tersebut boleh diakses secara dalam talian dan diperolehi menerusi pelbagai media sosial.

Kata beliau, secara umum, hasrat kementeriannya adalah untuk melanggan akhbar-akhbar yang menguar-uarkan nilai murni, memupuk perpaduan dan bukan sebaliknya.

“Hal ini bagi memastikan warga pendidik dapat membuat pertimbangan rasional berdasarkan isu-isu semasa di samping dapat mewujudkan sikap menerima, menghormati dan mengurus kepelbagaian agama, bangsa, budaya dan bahasa di negara ini,” katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Rosol Wahid (BN-Hulu Terengganu) yang meminta Kementerian Pendidikan menyatakan sama ada berhasrat untuk menarik semula pembatalan langganan Utusan Malaysia dan Minggguan Malaysia memandangkan akhbar tersebut kini berwajah baharu dengan saiz kompak dan lebih mesra pembaca.

Mengulas lanjut, Nie Ching berkata, walaupun mengalami perubahan saiz dari broadsheet kepada kompak, perkara itu tidak membuktikan bahawa akhbar tersebut telah `menukar pemikiran’.

“Seperti kita tukar tempat duduk, tidak semestinya bermaksud ahli Yang Berhormat (YB) duduk di sana sekarang tidak ada pemikiran yang berunsur perkauman.

“Saya ingin memetik apa yang dinyatakan oleh bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Tan Sri Zainuddin Maidin yang juga menyambut baik langkah kementerian untuk membatalkan langganan akhbar itu. Beliau menyatakan Utusan Malaysia bukan suara rakyat tetapi lidah rasmi UMNO yang bersifat perkauman.

“Jadi, saya rasa petikan daripada bekas Ketua Pengarang ini mencukupi,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Rosol sama ada Kementerian Pendidikan akan membenarkan ahli Parlimen untuk menaja atau memberi akhbar tersebut kepada sekolah, Nie Ching berkata, pihaknya mengalakkan akhbar yang menguar-uarkan nilai murni sahaja.

“Jadi, apabila Utusan Malaysia mampu mencapai matlamat ini, kita akan mempertimbangkan permintaan tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, menjawab soalan Cha Kee Chin (PH-Rasah) yang bertanya sama ada pembatalan sedemikian turut dikenakan terhadap akhbar lain terutamanya The Star yang dimiliki oleh MCA, Nie Ching berkata, setakat ini tiada keputusan terhadap langganan surat khabar yang lain.

“Apa yang boleh saya janjikan adalah Pakatan Harapan (PH) tidak akan mewajibkan sekolah untuk membeli surat khabar yang dikeluarkan oleh parti politik PH,” katanya. - UTUSAN ONLINE