Khairul Azwan Harun

Senator Khairul Azwan Harun berkata, tidak seperti barangan makanan lain, ubat-ubatan bukan merupakan barangan yang boleh menjadi pilihan kepada para pengguna.

“Memang ada ubat yang boleh didapati dengan harga murah di hospital kerajaan tetapi harga ubat tersebut agak mahal jika dibeli di tempat lain.

“Mungkin kerajaan boleh mencari jalan untuk memastikan harga ubat-ubatan dikawal kerana ubat bukan barangan pilihan kepada pengguna,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Kawalan Harga dan Antipencatutan (Pindaan) 2017 dalam sidang Dewan Negara, hari ini.

Dalam pada itu, me­nurut Khai­rul Azwan, semua Ahli Dewan Rak­yat dan Ahli Dewan Negara boleh membantu kerajaan memastikan harga barangan terkawal di pasaran dengan menjadi pemantau.

“Semua pihak perlu memainkan peranan dalam mengawal harga barangan di pasaran dan jangan kita sering menyalahkan kerajaan semata-mata apabila harga barang naik.

“Saya cadangkan semua Ahli Dewan Rakyat dan Ahli Dewan Negara turut membantu memantau harga bara­ngan untuk menjamin hak pengguna,“ katanya.

Dalam pada itu, Senator Datuk Mustapa Kamal Mohd. Yu­soff ketika membahaskan rang undang-undang sama mencadang­kan agar penjawat awam turut membantu kerajaan memantau harga barangan.

Ini kerana, katanya, jumlah pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Nege­ri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) tidak mencukupi untuk menjalankan tugas-tugas memantau harga barangan di seluruh negara.