Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata, kakitangan-kakitangan berkenaan perlu memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan dan telah dilantik kontrak sebelum atau pada 23 Oktober 2015.

Katanya, satu daripada syarat yang ditetapkan kerajaan Pakatan Harapan adalah tempoh berkhidmat mereka melebihi 15 tahun selain menunjukkan kesetiaan untuk kekal dalam perkhidmatan awam.

Malah, katanya, kakitangan lantikan kontrak itu juga perlu memiliki kepakaran dalam perkhidmatan mereka.

“Buat masa ini, kerajaan tidak bercadang mengurangkan syarat tempoh perkhidmatan pekerja lantikan kontrak kepada yang lebih rendah tetapi sekurang-kurangnya 15 tahun untuk ditetapkan dalam perkhidmatan,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu menjawab celahan beberapa ahli Parlimen pembangkang dan kerajaan sewaktu menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2019 peringkat jawatankuasa bagi kementeriannya dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini. - UTUSAN ONLINE