Fadillah Yusof

Menterinya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kementerian akan memaklumkan cadangan tersebut kepada JKJR dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (Miros) bagi memberi pandangan berkenaan aspek keselamatan.

Beliau berkata, bentuk jalan raya di negara ini adalah sesuai untuk kelajuan maksimum 120 km/j.

“Dalam konteks had laju jalan raya bukan sahaja ditetapkan Jabatan Kerja Raya (JKR) tetapi dengan kerjasama Kementerian Pengangkutan melalui JKJR dan Miros yang memberi pandangan dari sudut keselamatan.

“Oleh itu, jika dirundingkan bersama dengan JKJR dan sekiranya dipersetujui, maka baru kita boleh pertimbangkan cadangan (had laju) ini. Walau bagaimanapun, kita akan maklumkan cadangan ini kepada JKJR supaya kita dapat membuat kajian baru dalam perkara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu, mengenai ka­dar tol lebuh raya, Fadillah ber­kata, kementerian sedang mengkaji semula semua konsesi yang berhubung kait dengan lebuh raya di negara ini.

Beliau memberitahu, hasil rundingan yang telah dilakukan kerajaan, kadar tol lebuh raya pada ketika ini adalah lebih murah daripada perjanjian dengan syarikat konsesi sebelum ini.

“Kita kena ingat berdasarkan perjanjian lama, kadar tol tidak sama dengan yang ada sekarang. Oleh sebab perundingan dilakukan kerajaan, maka kadar tol lebuh raya adalah lebih murah daripada yang termaktub dalam perjanjian,” jelasnya.