LIOW TIONG LAI

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, langkah tersebut berupaya mengelakkan tragedi kemalangan melibatkan bas di negara ini.

Menurut beliau, rakaman OBD membolehkan penilaian dilakukan terhadap gerak-geri pemandu bas dan skor mereka akan direkodkan.

“Sebelum ini, OBD hanya digunakan untuk memantau penum­pang. Jadi, dengan pemasangan peranti itu, ia mampu memantau pergerakan bas serta mengesan sebarang tindakan yang dilakukan oleh pemandu yang memberi risiko kepada penum­pang.

“Pemasangan OBD juga diyakini akan membantu kementerian dan pihak berkuasa untuk memantau rekod pemanduan dengan cara yang lebih mudah,” katanya ketika menjawab pada sesi pertanyaan menteri dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad (BN-Mersing) yang meminta Kementerian Pengangkutan menyatakan langkah mengukur kredibiliti pemandu bas bagi mengelakkan tragedi kemalangan jalan raya.

Kelmarin, lapan pekerja kilang maut dan 35 lain cedera dalam kejadian kemalangan dua bas pekerja di Kilometer 147 Lebuh Raya Utara Selatan arah Utara di Juru, Pulau Pinang.

Tiong Lai menambah, pihaknya turut mempertimbangkan cadangan untuk melaksanakan Sistem Pengesanan Kedudukan Global (GPS) bagi memastikan pemandu bas tidak memandu melebihi had laju yang ditetapkan.

“Didapati kebanyakan kes kemalangan di jalan raya melibatkan kematian berpunca daripada sikap pemandu yang cuai, tidak mematuhi pemanduan yang selamat dan memandu melebihi had laju,” katanya.

Beliau memberitahu, alat pengehad kelajuan juga perlu dipasang agar bas tidak dipandu melebihi had laju yang ditetapkan.