Pengerusinya, Datuk Seri Hasan Arifin berkata, jawatankuasa itu berpandangan had tunggakan cukai tidak kurang daripada RM2,000 yang ditetapkan bagi individu ketika ini adalah kurang sesuai dengan ke­adaan ekonomi semasa.

Katanya, PAC juga menge­syorkan supaya kerajaan mengkaji semula had tunggakan cukai dinaikkan kepada RM50,000 untuk syarikat.

“Selain itu, sebelum sekatan dikenakan, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) perlu memastikan notis tunggakan cukai disampaikan kepada individu atau syarikat mengikut undang-undang seperti yang diamalkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

“Sistem penyampaian LHDN perlu dinaik taraf dengan menggunakan teknologi baharu seperti sistem khidmat pesanan ringkas (SMS), WhatsApp, e-mel dalam menyampaikan peringatan notis tunggakan cukai atau sekatan perjalanan ke luar negara,” kata­nya dalam satu kenyataan yang diedarkan di bilik media bangunan Parlimen hari ini.

Menurut Hasan, secara umumnya, PAC berpuas hati dengan pengurusan sekatan perjalanan ke luar negara yang dilaksanakan oleh LHDN.

Beliau turut mengesyorkan kepada LHDN serta Jabatan Imigresen untuk memastikan pangkalan data mereka sentiasa dikemas kini supaya tidak berlaku kes pembayar cukai yang telah menjelaskan tunggakan mereka namun masih mengalami masalah semasa hendak ke luar negara.