Perkara itu disuarakan Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim (BN-Kuala Selangor) yang mempersoalkan kaedah penyelenggaraan jalan yang dipraktikkan ketika ini iaitu dengan menampal kawasan kerosakan sebagai merugikan.

Menurut Irmohizam, kaedah itu tidak menyelesaikan masalah ke­rana kerosakan yang ditampal pasti akan berulang kembali tidak lama kemudian dan akhirnya prosedur sama perlu diulang semula.

“Perkara ini mengakibatkan kos baik pulih yang tinggi sehingga menyebabkan kerugian besar kepada pihak kerajaan. Ketidakpatuhan kepada garis panduan yang telah ditetapkan menjadi punca kepada masalah ini.

“Justeru itu, saya mohon agar prosedur operasi standard kementerian dapat dikaji semula agar garis panduan penyelenggaraan dan baik pulih jalan yang berkualiti dapat disediakan bagi menge­lakkan pembaziran. Pada hemat saya, penyelenggaraan jalan raya yang baik bergantung kepada tiga aspek utama iaitu rutin, berkala dan kecemasan,” katanya ketika sesi perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2017 peringkat jawatankuasa dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu beliau berkata, syarikat-syarikat yang menerima bantuan Dana Teknologi Bumiputera (BTF) disarankan membantu peniaga bumiputera lain dalam bidang teknologi dan tidak hanya memberi fokus untuk mengembangkan perniagaan mereka sendiri sahaja.

Irmohizam berkata, penerima dana tersebut perlu membangunkan teknologi baharu yang berorientasikan pasaran bagi meningkatkan daya pengeluaran.

“Penggunaan teknologi mo­den dan sumber secara optimum akan meningkatkan produktiviti, pendapatan dan daya kemampanan.

“Ia seiring dengan usaha kerajaan menuju ke arah pelaksanaan revolusi industri keempat walaupun pada skalanya negara kita masih lagi kecil jika dibandingkan dengan negara maju lain seperti Jepun, Jerman dan Amerika Syarikat,” katanya.