Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tanggungan itu dianggarkan sebanyak RM7.07 juta selepas perkara itu diputuskan oleh Kabinet baru-baru ini.

Beliau mengharapkan usaha terbaharu itu dapat menyelesaikan masalah bayaran bil yang kadangkala tidak dapat dilakukan sehingga menyebabkan bekalan elektrik dipotong.

“Sebelum ini kerajaan hanya membayar bil lampu dan penyelenggaraan jalan kampung bagi kampung-kampung tradisional dan Kampung Orang Asli sebanyak RM80 juta setahun.

“Suka saya maklumkan bahawa Kabinet baru-baru ini telah meluluskan supaya kerajaan tanggung bil lampu jalan kepada Felda, Felcra dan Ketengah yang selama ini menangggung bil sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Anuar Abd. Manap (BN-Sekijang) yang bertanyakan apakah usaha kerajaan untuk menangani masalah lampu jalan di kampung-kampung termasuk kawasan Felda dalam sesi pertanyaan-pertanyaan Menteri pada sidang Dewan Rakyat, hari ini. - UTUSAN ONLINE