JOHARI ABDUL GHANI

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, kerajaan mungkin mempertimbangkan hasrat tersebut sekiranya meneri­ma lebihan daripada peningkatan harga petroleum ketika ini.

Walau bagaimanapun kata beliau, jumlahnya tidak tetap kera­na jika harga mi­nyak jatuh, maka nilainya juga berkura­ngan.

“Kita ambil maklum mengenai peningkatan harga minyak. Kalau daripada peningkatan ini kita dapat lebihan, mungkin boleh sumbangkan kepada golongan berpendapatan rendah terutama yang terima BR1M.

“Kemungkinan besar kita boleh tingkatkan BR1M dengan jumlah sedikit lebih,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2018 peringkat jawatankuasa Kementerian Kewangan dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, penurunan kadar subsidi Kementerian Kewangan daripada RM12.7 bilion kepada RM9.56 bilion dalam Bajet 2018 lalu bukanlah bermaksud berlakunya pemoto­ngan bantuan kepada rakyat.

Sebaliknya kata beliau, sebahagian subsidi itu telah dipindahkan daripada kementeriannya kepada kementerian-kementerian lain antaranya meliputi penstabilan harga minyak masak sebanyak RM720 juta yang dipindahkan kepada Kementerian Perdaga­ngan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

Beliau menambah, pampasan kepada tol berjumlah RM448 juta juga telah dipindahkan ke Kementerian Kerja Raya.

“Semua ini dulu diletakkan di bawah Kementerian Kewangan tetapi disebabkan bantuan ini sudah 'tetap', kita pindahkan kepada kementerian terlibat.

“Penurunan ini bukan kerana kita potong tetapi subsidi itu dipindah alih kepada kementerian terbabit,” katanya.

Mengulas lanjut, Johari memberitahu, subsidi berjumlah 9.56 bilion yang diumumkan Perdana Menteri sewaktu pembentangan bajet lalu antaranya melibatkan petrol, diesel dan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

“Daripada jumlah itu RM6.8 bilion diperuntukkan untuk BR1M manakala RM1.6 bilion merupakan subsidi petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG),” jelas beliau.