Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar berkata, hal demikian ini kerana silap kerajaan negeri itu sendiri yang tidak mengikuti garis panduan pembangunan di lereng bukit yang telah di keluarkan pada 2009.

Menurutnya, kerajaan negeri itu sebaliknya mengguna pakai garis panduan keselamatan pembangunan lereng bukit yang dibuat sendiri pada 2012 kerana kononnya sesuai dengan mereka.

“Mereka sepatutnya mematuhi garis panduan yang telah dikeluarkan dan diiktiraf oleh Majlis Pembangunan Fizikal Negara.

“Apa juga garis panduan kita tetapkan, saya nasihatkan semua kerajaan negeri hendaklah patuhi. Saya akui Kerajaan Pusat tidak mempunyai kuasa undang-undang untuk menghalang kerajaan negeri laksana pelan sendiri tetapi tidak boleh salahkan Kerajaan Pusat sekiranya berlaku bencana alam,” katanya ketika menggulung perbahasan Bajet 2018 peringkat dasar kementeriannya di Dewan Rakya, hari ini.

Beliau menjawab soalan Zairil Khir Johari (DAP-Bukit Bendera) kononnya PLANMalaysia tidak mendapat bantahan terhadap projek pembangunan di Tanjung Bungah, Pulau Pinang pada mesyuarat jawatankuasa pusat sehenti.

Noh berkata, wakil PLANMalaysia menyatakan tidak bersetuju dengan pembinaan projek itu dalam dua mesyuarat terdahulu sebelum mesyuarat berkenaan diadakan.

Lebih-lebih lagi katanya, PLANMalaysia tidak mempunyai kuasa dalam mesyuarat jawatankuasa pusat sehenti yang diadakan dengan Majlis Bandaraya Pulau Pinang. - UTUSAN ONLINE