Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, beliau terpanggil membangkitkan perkara itu kerana mendapat maklumat dalam tempoh lima bulan sejak kerajaan baharu berkuasa 9 Mei lalu, banyak projek pembangunan termasuk di jelapang padi `dihentikan’ atas alasan `tidak ada peruntukan’.

Antaranya, kata bekas Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu melibatkan projek pembangunan jelapang padi di beberapa negeri selain menaiktaraf sistem tali air dan saliran di kawasan terbabit.

Dalam hal ini, kata Tajuddin, beliau `terdengar’ projek pembangunan sawah padi yang dimulakan kerajaan Barisan Nasional (BN) pun sudah digantung pelaksanaannya manakala projek-projek yang dirancang tidak dilaksanakan.


“Kita dulunya ada cadangan membangunkan padi bukit di Sabah dan Sarawak yang memerlukan sistem pertanian yang lebih baik, kurang dari 2 tan metrik satu hektar. Kita ada beratus ribu ekar kawasan pertanian padi bukit, contohnya, Jelapang Padi Batang Lupar dan satu lagi dibuka di Kota Belud. Dua ini masih perlu untuk pembangunan pengairan peringkat awal.

“Jelapang padi di Rompin, Pahang pun begitu. Kita tak tahulah sama ada dalam Belanjawan 2019 nanti ada disediakan bajet untuk diteruskan pembangunan jelapang padi berkenaan.

“Kos di satu-satu jelapang padi ini antara RM100 juta hingga RM300 juta, dengan tahap pembangunan jelapang padi ini ada yang siap separuh, baru bermula dan peringkat perancangan.

“Rakyat tak mahu dengar alasan tidak ada peruntukan, tanggung hutang dan sebagainya. Anda Pakatan Harapan telah berikan keyakinan tinggi bahawa sebelum ini boleh penuhi janji-janji ini.

“Kalau tahu tak boleh, mungkin rakyat tidak beri mandat untuk anda jadi kerajaan,” kata beliau kepada Utusan Online ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Tajuddin memberi contoh projek pembangunan jelapang padi Sungai Manik, Perak yang sudah dimulakan sistem pengairannya selama ini dan kini cuma satu pertiga sahaja untuk disempurnakan kerja-kerja pembangunannya.

“Setiap tahun kerajaan yang lepas peruntukkan antara RM20 hingga RM30 juta dengan lebih RM300 juta setakat ini dibelanjakan selama BN memerintah.

“Dalam tempoh lima tahun untuk di Jelapang Padi di Sungai Manik, kerajaan BN belanjakan RM100 juta. Begitu juga untuk jelapang padi Kerian, utara Perak. Walaupun tidak setanding seperti di Jepun dan Taiwan, pembangunan infrastruktur pertanian penting seperti penyediaan jalan ladang, pengairan, pintu air,” kata beliau.

Mengenai kebajikan nelayan pula, kata Tajuddin, kebanyakan mereka masih dalam kategori kumpulan nelayan tradisional dengan penggunaan bot-bot kecil dan tidak mampu ke laut dalam.

“Perancangan kita dahulu untuk meningkatkan lagi pendapatan nelayan menerusi penambahbaikan aspek pemprosesan ikan dengan penyediaan kemudahannya selain ada nilai tambah perniagaan yang mereka akan ceburi seperti menguasahakan perniagaan bebola ikan dan sebagainya.

“Mungkin kerajaan Pakatan Harapan akan cakap, kenapa dulu BN tak buat? Sebenarnya kita dah mula dengan sesetengahnya sudah dilakukan antaranya penyediaan Kompleks Pendaratan Ikan di Tanjung Bako, Kuching dan Pelabuhan Perikanan Laut Dalam Tanjung Manis (PPLTM) di Sibu.

“Kerajaan BN masa itu sudah melabur di setiap pelabuhan sehingga beratus-ratus juta ringgit. Peringkat kedua pula, kita nak galakkan nelayan menggunakan kemudahan pendaratan ikan ini,” katanya.

Berhubung usaha menambah pendapatan para peneroka Felda pula, Tajuddin berkata, kerajaan perlu ada usaha untuk membantu meningkatkan pendapatan peneroka.

“Peneroka jangan selama-lamanya bergantung kepada kelapa sawit, pasti ada sumber pendapatan lain dan peluang daripada pelbagai perniagaan. Buang pengurusan yang tidak cekap. Buatlah yang lebih baik dari BN dahulu,” kata Tajuddin.
-UTUSAN ONLINE