AZALINA OTHMAN SAID

Perkara itu ditekankan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said yang turut menasihatkan ahli-ahli Parlimen supaya sentiasa patuh dengan peraturan mesyuarat selain menghormati speaker serta timbalannya.

Jelas Azalina, ahli-ahli Parlimen boleh berbeza pendapat sama ada bersetuju atau tidak bersetuju tentang sesuatu perkara tetapi tidak wajar untuk membuat sebarang serangan peribadi terhadap ahli Parlimen lain.

“Penggunaan perkataan-perkataan kurang sopan dan tuduhan juga sering kali di­gunakan ter­ma­suk­lah terhadap Per­dana Menteri dan Speaker Dewan Rak­yat.

“Tindakan seum­pa­ma ini boleh men­cetuskan provokasi dan suasana tegang dalam Dewan Rakyat sekali gus dibimbangi akan berlaku pertembungan fizikal,” katanya dalam ke­nya­taan di sini hari ini.

Semalam, persidangan Dewan Rakyat kecoh berikutan pertikaman lidah di antara Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dengan beberapa wakil rakyat pembangkang terutamanya Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abd. Samad yang menggunakan perkataan ‘sial’ bagi merujuk kepada Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu.

Khalid mengeluarkan perkataan itu selepas Tajuddin secara berseloroh menyebut hanya Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok wanita yang mempunyai nama dengan perkataan ‘Kok’ di Seputeh.

Bagaimanapun, gurauan tersebut menyebabkan Dewan Rakyat kecoh dengan beberapa wakil rakyat pembangkang mengeluarkan kata-kata kesat termasuk Khalid yang berkata ‘sial’.

Kekecohan itu bagaimanapun ditenangkan Timbalan Speaker, Datuk Seri Ronald Kiandee de­ngan membuat penetapan bahawa perkataan ‘Kok’ adalah merujuk kepada nama Teresa dan bukan bermaksud perkataan lain.