Sehubungan itu, Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pela­buran dan Pembangunan Koridor negeri, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid meminta pihak pembangkang untuk tidak mengeksploitasi isu tersebut dan melemparkan tohmahan terhadap MB Inc.

Menurutnya, pihak pembangkang mungkin mempunyai maksud tersirat demi kepentingan politik kerana mereka dilihat telah berulang kali membangkitkan pelbagai tuduhan terhadap MB Inc.

“Saya berharap rakyat me­numpukan perhatian terhadap pembangunan dan perubahan positif yang dibawa oleh kerajaan dan bersama-sama menolak provokatif politik mainan pembangkang yang langsung tidak memberikan apa-apa manfaat kepada rakyat,” katanya dalam sidang akhbar selepas Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Mohammad Zahir berkata, pem­­bangkang antaranya menu­duh MB Inc. tidak telus, tidak berintegriti, tidak mempunyai kemampuan mengurus, diberikan keluasan tanah dan aset yang besar dan diberikan keistimewaan melebihi agensi lain.

Selain itu katanya, MB Inc. dituduh mempunyai liabiliti, tidak menyumbang kepada negeri dan rakyat serta bersaing dengan pemain industri lain dalam bidang batu-batuan, mineral dan harta­nah.

Katanya, turut dibangkitkan pembangkang ialah mengenai tuduhan penyata kewangan MB Inc. tidak diaudit atau dibentangkan di dalam DUN Perak.

“Akaun MB Inc. dan anak syarikatnya diaudit oleh juruaudit bertauliah setiap tahun sejak dari mula beroperasi. Mengikut Enakmen MB Inc., tiada keperluan dan kewajipan untuk MB Inc. membentangkan laporan audit kepada DUN seperti mana CM Inc. Pulau Pinang dan MB Inc. negeri-negeri lain.

“Isu pembentangan penyata dan audit MB Inc. pernah menjadi isu di DUN Selangor pada tahun 2015 namun sehingga kini tiada pembentangan dibuat. Kenapa isu ini dimainkan di DUN Perak ketika isu yang sama tidak diselesaikan di negeri yang diperintah pihak pembangkang?” katanya.

Mengenai tuduhan MB Inc. tidak mempunyai kemampuan mengurus, Zahir berkata, amalan tadbir urus MB Inc. telah membuktikan kejayaan sepanjang lima tahun diaktifkan semula.

Katanya, antaranya dengan mendorong pengurusan Pasir Perak untuk menambah baik sistem Pusat Pemantauan di bawah seliaan MB Inc.

“Mengenai tuduhan MB Inc. diberikan keluasan tanah dan aset yang besar, setakat Mac lalu, MB Inc. mempunyai 989 hektar tanah yang kebanyakannya mempunyai masalah seperti penerokaan yang belum diselesaikan,” katanya.

Menjawab tuduhan MB Inc. tidak menyumbang kepada nege­ri dan rakyat, Mohammad Zahir berkata, selama lima tahun diaktifkan semula, sehingga Mac lalu, MB Inc. telah menyumbang sebanyak RM53.7 juta.

“Sejumlah RM4.5 juta pula telah disumbangkan dalam bentuk program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan zakat,” katanya.