Lim Guan Eng

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, hal itu kerana kerajaan melihat impak pelaksanaan SST adalah lebih ringan berbanding cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

“Kita simpati kepada rakyat. Kenapa kita mesti hendak bergantung kepada GST? SST adalah jauh lebih ringan berbanding GST,” katanya bagi menjawab celahan Datuk Seri Hamzah Zainuddin (BN-Larut) ketika perbahasan usul Rang Undang-undang Cukai Per­khidmatan 2018 dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Hamzah mengutarakan persoalan mengenai bagaimana ke­ra­jaan dapat mengawal harga barang dan perkhidmatan selepas pelaksanaan SST.

Hamzah Zainuddin
Hamzah Zainuddin

Rang undang-undang tersebut diluluskan selepas bacaan kali ketiga oleh Guan Eng di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof.

Tambah Guan Eng, sewaktu pelaksanaan GST, kutipan cukai yang diperoleh adalah sebanyak RM44 bilion dan kutipan daripada SST pula dijang­ka RM21 bilion.

Beliau berkata, separuh daripada kutipan GST itu secara tidak langsung telah menunjukkan kesan yang dialami SST adalah separuh daripada kesan GST.

“Sekiranya ada ketirisan dalam SST, kita harap dapat dikawal di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna. Itu harapan kerajaan dan rakyat Malaysia,” jelasnya.