Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr. Fuziah Salleh berkata, peranan, fungsi dan struktur Jakim akan dikaji semula bagi memperkasakan kedudukannya sebagai agensi agama Islam di peringkat Persekutuan supaya menjadikan institusi itu lebih efisien.

“Dalam hal ini, usaha ke arah memperkasa dan memartabatkan Islam dari semua aspek sentiasa diberi keutamaan oleh kerajaan menerusi gerak kerja berterusan dan komprehensif.

“Langkah ini juga selaras dengan Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan agama Islam sebagai agama Persekutuan dan pada masa sama agama-agama lain dapat diamalkan dengan aman dan damai,” katanya.

Beliau menjawab soalan dalam sesi pertanyaan bagi jawab lisan dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Tan Sri Annuar Muda (BN-Ketereh) meminta kerajaan menyatakan pendirian berhubung tuntutan pembubaran Jakim selain mempertikaikan pemberian dana awam dalam pembangunan Islam di negara ini.

Dalam pada itu, Fuziah berkata, isu pemberian dana awam bagi tujuan pembangunan Islam adalah selari dengan Perkara 12 (2) Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri menubuh, menyelenggara serta membantu institusi Islam.

Selain itu, mengulas mengenai isu sensitiviti agama Islam, Fuziah yang juga Ahli Parlimen Kuantan berkata, kerajaan sentiasa peka terhadap sebarang usaha menghina agama Islam.

“Secara umum, kebenaran menganjurkan mana-mana program adalah tertakluk kepada peraturan di bawah pihak berkuasa negeri khususnya pihak berkuasa tempatan (PBT) manakala program berkaitan Islam sewajarnya mendapat pandangan daripada pihak berkuasa agama negeri,” katanya.