Rusuhan di kuil itu menjadi cabaran terbesar kerajaan Pakatan Harapan (PH) sejak meme­rintah, namun dilihat terkawal hasil pengalaman Dr. Mahathir sendiri.

Dalam sidang Dewan Rakyat hari ini, Perdana Menteri me­nyatakan bahawa kerajaan tidak menghukum secara buta tuli, tetapi demokrasi mempunyai batas dan semua harus faham akan batas-batas itu.

“Kerajaan tidak akan bertolak-ansur dan akan bertindak mengikut peruntukan undang-undang yang ada untuk memastikan keharmonian dan keamanan negara tidak diperlekehkan sesiapa,” katanya.

Kata-kata beliau didengar secara tekun oleh penyokong-penyokong kerajaan yang rata-ratanya tidak berpengalaman seperti Dr. Mahathir yang pernah berdepan pelbagai rusuhan sewaktu mengetuai Barisan Nasional (BN).

Dr. Mahathir turut memberi amaran kepada ahli-ahli politik serta pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) supaya jangan menangguk di dalam air keruh, yang pastinya mencipta persepsi ia mungkin ditujukan kepada menterinya sendiri.

“Kerajaan tidak berniat menyekat kebebasan bersuara tetapi jika apa yang disuarakan itu tidak benar dan mengancam ketenteraman awam, kita tidak teragak-agak mengambil tindakan,” katanya.

Beliau juga mengingatkan Malaysia sedang diterajui oleh kerajaan baharu dan sudah tentu terdapat kepincangan yang digemari oleh pihak lain.

“Saya minta semua rakyat bertenang dan elak daripada terbabit di dalam aktiviti yang boleh menjadi landasan mencetuskan pergaduhan dan hasutan.

“Namun jika ada sebarang usaha provokasi, kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang cuba mencabar undang-undang,” katanya.