Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim berkata, terdapat beberapa persoalan berhubung isu tersebut antaranya apakah justifikasi kerajaan negeri untuk menyerahkan tanah seluas kira-kira 800 hektar itu kepada Mujur Zaman Sdn. Bhd. dan LCBN Development Sdn. Bhd. sedangkan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan telah memutuskan tanah tersebut dikembalikan kepada kerajaan PKR Selangor.

Selain itu, soal beliau lagi, mengapa kerajaan PKR Selangor tidak memberikan pampasan mengikut kadar efektif ataupun kadar semasa harga pasaran tanah.

"Mengapakah pampasan yang diberikan kepada para peneroka masih lagi dinilai mengikut kadar pada 18 tahun dahulu.

"Oleh itu saya memohon agar kerajaan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan memberikan penjelasan mengenai isu tanah Ijok ini di dalam sidang Dewan Rakyat supaya kebenaran dapat diketahui oleh rakyat Selangor," katanya ketika mencadangkan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.- UTUSAN ONLINE