Bercakap kepada pemberita selepas Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Majlis Parlimen Ke-14 di bangunan Parlimen hari ini, Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO mengulas langkah dan persediaannya untuk menggalas tugas berat yang dipertanggungjawabkan kepadanya.

UTUSAN: Sebagai Ketua Pembangkang baharu, bagaimana persediaan Datuk Seri?

ISMAIL SABRI: Saya akan selaraskan dalam kalangan ahli-ahli pembangkang untuk menghantar satu mesej yang jelas dan kalau boleh hampir sama kerana UMNO dan Pas merupakan dua pembangkang yang besar.

Langkah ini penting supaya rakyat dapat melihat kita sebagai pembangkang mempunyai kesatuan dari segi suara dan tindakan.

Bagaimana hendak menterjemahkan kerjasama UMNO dan Pas di Parlimen?

Saya percaya esok kita akan memulakan perbinca­ngan di Parlimen secara bersama antara Pas dan UMNO.

Ada jawatankuasa khas Pas dan UMNO?

Dulu kita tiada jawatankuasa bersama tetapi kita sentiasa berbincang, tetapi kali ini insya-Allah kita tengok apa yang perlu kita buat.

Sama ada jawatankuasa itu perlu atau mungkin wujud pe­ringkat tertinggi parti sahaja yang duduk bersama dalam Parlimen.

Ramai yang mendakwa termasuk golongan profesional bahawa kerajaan campuran UMNO dan Pas ini tidak akan berjaya, komen Datuk Seri?

Saya rasa masih terlalu awal hendak membuat andaian begitu kerana jelas sehingga hari ini dua Pilihan Raya Kecil (PRK) berjaya menghasilkan kerjasama yang mantap antara UMNO dan Pas.

Insya-Allah dapat diterus­kan hingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) malah saya percaya keputusan positif adalah kepada kita di blok pembangkang.

Setakat ini ada akar umbi yang membantah?

Tiada masalah dan diterima dengan baik cadangan kerjasama UMNO dan Pas ini malah turut mengadakan program bersama se­perti himpunan bantah Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) tahun lalu.