Menurut beliau, apa pun alasan yang dikemukakan sama ada sibuk atau tidak berada di dalam negara, perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana Dewan Rakyat ketika ini sedang membahaskan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).

“Saya faham menteri berehat kerana sedang mendapatkan rawatan dan saya juga tidak minta beliau datang tetapi kalau tiada menteri, sekurang-kurangnya ada timbalan menteri. Kalau sesiapa boleh jawab, lain kali tak payah (sesi soal jawab).

“Ini bukan pasar malam, ini Dewan Rakyat, sebab itu kita perlu menteri dan timbalan menteri berkenaan jawab betul-betul kepada pertanyaan yang diajukan kepada kementerian berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar di lobi Parlimen, hari ini.

Terdahulu, dalam sesi soal jawab, Ali Biju (PH-Saratok) mengemukakan soalan kepada Kementerian Dalam Negeri berhubung status Ibu pejabat polis di Saratok namun ia dijawab oleh Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohd. Radzi Md. Jidin.

Sementara itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd. Azis Jamman menjelaskan, beliau dan Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak dapat mengikuti sesi soal jawab tersebut kerana menghadiri program rasmi di Putrajaya.

“Kebetulan kita ada program rasmi di kementerian mengenai pemberian kewarganegaraan yang diberikan sendiri oleh Menteri dan saya pun hadir. Kita pun tidak sangka empat ahli Parlimen tidak datang hari ini.

“Tetapi kita sudah bincang dengan kementerian tadi dan telah memaklumkan kepada Setiausaha Dewan Rakyat (Datuk Roosme Hamzah) malah pegawai-pegawai saya juga sudah memberi jawapan bertulis kepada wakil (Mohd. Radzi),” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen.