Demikian alasan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaludin yang tidak menyertai ahli parlimen pembangkang lain ‘memboikot’ lantikan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof semasa upacara mengangkat sumpah Dewan Rakyat.

Khairy berkata, ahli Barisan Nasional (BN) sepatutnya menonjolkan imej mereka sebagai pembangkang yang berwibawa dengan menghormati majlis upacara tersebut.

“Hari ini hari kita mengangkat sumpah, jadi kita perlu menghormati dewan dan juga majlis mengangkat sumpah. Cara macam mana kita nak bantah boleh buat sewaktu perbahasan nanti atau selepas perasmian pembukaan Parlimen pada hari esok.

“Saya hanya bercakap bagi diri saya. Saya buat keputusan yang saya rasa adalah betul untuk menghormati majlis mengangkat sumpah pada hari ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas kesemua 222 ahli Parlimen mengangkat sumpah di Dewan Rakyat, hari ini.

Difahamkan, bantahan tersebut kerana notis pemberitahuan pelantikan Yang Dipertua Dewan Rakyat didakwa tidak mengikut prosedur.

Notis tersebut dimaklumkan sepatutnya diserahkan tidak kurang daripada 14 hari sebelum parlimen mula bersidang.

Namun, Khairy menjadi satu-satunya ahli Dewan Rakyat pembangkang yang tidak turut sama keluar dewan pagi tadi. - UTUSAN ONLINE