Beliau berkata, kadar jenayah telah berkurangan antara 4.2 pe­ratus hingga 12.6 peratus dari 2011 hingga tahun lepas tetapi persepsi tidak meningkat kera­na wujud prasangka terhadap pihak polis.

“Ada antara kita tidak mahu mengakui hakikat bahawa pihak polis telah menjalankan tugas dan pada waktu yang sama ada sesete­ngah media tidak mahu menga­kui hakikat dan penca­­pai­an ini.

“Insya-Allah pada tahun ini kita terus berusaha untuk me­nurunkan kadar itu yang pada masa ini mencatatkan seba­nyak 103,346 berbanding 115,545 pa­da tahun lalu,” katanya keti­ka menjawab soalan Senator Chia Song Cheng pada sesi soal jawab pada persidangan Dewan Negara hari ini.

Dalam pada itu, menjawab soalan Senator Datuk Megat Zulkarnain Omardin berhubung usaha pihak berkuasa bagi menafikan tanggapan negatif ter­hadap negara yang digambarkan tidak selamat, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, PDRM telah memodenkan usaha pencegahan jenayah.

Katanya, usaha itu termasuk menambah aset seperti meletak­kan kamera litar tertutup berdefinisi tinggi (CCTV HD) di kawasan-kawasan panas berlaku jenayah dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) selain meningkatkan keberadaan anggota-anggota polis di lokasi-lokasi tersebut.

Selain itu, kata beliau, unit rondaan bermotosikal dilakukan 24 jam di kawasan-kawasan perumahan dan anggota-anggota polis yang melakukan rondaan itu boleh mengambil tindakan segera jika jenayah berlaku.