GOBIND SINGH DEO
GOBIND SINGH DEO

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, sehingga kini, lebih 3,300 PKS tempatan telah menyertai platform DFTZ.

“Kerajaan akan meneruskan usa­ha dan pelaksanaan inisiatif tersebut untuk memberi manfaat dan faedah kepada PKS melalui DFTZ.

“Pada masa sama, kerajaan juga akan terus memantau prestasi eksport PKS yang menyertai program ini bagi memastikan golongan tersebut berdaya maju untuk tempoh jangka panjang,” katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rak­yat hari ini.

Beliau menjawab soa­­lan Mohd. Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) yang meminta kerajaan menjelaskan pendirian sama ada akan meneruskan inisiatif DFTZ atau sebaliknya.

DFTZ dilancarkan oleh kerajaan terdahulu bersama Alibaba Group Holding Ltd. (Alibaba) untuk merangsang pertumbuhan ekonomi negara dengan menyediakan kemudahan e-dagang merentasi sempadan untuk PKS, yang sebelum ini sukar menembusi pasaran antarabangsa.

Mengulas lanjut Gobind berkata, usaha akan dipergiatkan lagi bagi melibatkan lebih banyak PKS untuk menembusi pasaran eksport di bawah inisiatif tersebut.

“Berdasarkan pencapaian awal dan maklumat dari Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) sehingga April lalu, sebanyak 70 PKS yang menyertai platform DFTZ telah menjana jualan sebanyak RM52.1 juta dengan nilai eksport berjumlah RM18.1 juta,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan akan mempertimbangkan untuk mewujudkan undang-undang yang berupaya menjaga hak dan kepentingan peniaga dalam talian.