Buku setebal 168 muka yang mengupas tentang pelbagai isu politik semasa serta pemerintahan negara di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) itu turut menggambarkan pentadbiran beberapa negeri yang diperintah Pakatan Harapan diketuai DAP dan Pas.

Menurut Ahmad Faris, tujuan buku itu ditulis adalah untuk memberi penjelasan kepada orang ramai dan masyarakat tentang risiko yang akan berlaku sekiranya kerajaan bertukar dalam Pili­han Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Jelas anak kelahiran Perak itu, antara pengisiannya adalah implikasi serta kesan pimpinan pembangkang seperti kes ra­suah, masalah air dan tanah Ijok di Selangor yang sehingga kini masih tidak dapat diselesaikan.

“Tengok pencapaian kerajaan sejak negara kita merdeka hingga sekarang. Setiap janji ditepati dan dilaksanakan dengan ja­yanya.

“Berbanding di Selangor, mereka menyatakan pendidikan tinggi akan diberi percuma tetapi ia tidak direalisasikan di Universiti Selangor (Unisel) yang 100 peratus ditadbir mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas menghadiri majlis pelancaran buku tersebut yang disempurnakan oleh Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan BN (BNBBC), Tan Sri Shahrir Abdul Samad di Bangunan Parlimen hari ini.

Mengulas tentang judul buku berkenaan, Ahmad Faris memberitahu, ia bertujuan menarik minat pembaca dan merupakan salah satu kaedah ‘psikologi songsang’ supaya masyarakat tahu tentang risiko yang bakal berlaku.

Sementara itu, Shahrir berkata, buku terbitan Masterplan Consulting Sdn. Bhd. tersebut seharusnya menjadi bacaan umum supaya masyarakat tahu tentang jerih perih bagaimana kerajaan membentuk negara serta mengekalkan keamanan dan keharmonian.

Ini kerana katanya, buku itu turut mendalami kisah-kisah masyarakat masa lalu termasuk pentadbiran kerajaan sejak 1974 yang sepatutnya diketahui ge­nerasi sekarang.