Azalina Othman Said

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pindaan itu dicadangkan setelah mengambil kira pandangan dan cadangan pelbagai pihak termasuk ahli-ahli Parlimen.

“Perkataan ‘diketahuinya’ dalam Fasal 4 bahagian ini dicadang untuk digantikan dengan perkataan ‘berniat jahat’ dan hukuman penjara yang diperuntukkan selama 10 tahun akan dikurangkan kepada enam tahun,” katanya dalam satu kenyataan yang diedarkan di bilik media bangunan Parlimen hari ini.

Beliau menambah, cadangan pindaan di peringkat jawatankuasa itu telah dipersetujui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Rang Undang-undang Antiberita Tidak Benar 2018 dibacakan kali kedua dengan cadangan pindaan tersebut dikemukakan oleh Azalina dalam sidang Dewan Rakyat hari ini di hadapan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Ismail Mohamed Said.

Terdahulu, dalam pembenta­ngan tersebut, Azalina berkata, walaupun terdapat beberapa undang-undang yang berkaitan, sehingga kini masalah berita palsu tidak dapat dikawal secara efektif dan pantas berikutan perkemba­ngan semasa teknologi maklumat yang semakin pantas serta kompleks.

“Undang-undang yang sering disebut dalam perkara ini seperti Kanun Keseksaan, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 telah digubal pada atau sebelum tahun 1990-an.

“Ia tidak dapat menangani sifat kesalahan yang kompleks seiring dengan peredaran teknologi terkini,” jelasnya.

Beliau menambah, Rang Undang-undang Antiberita Tidak Benar 2018 juga akan melengkapi peruntukan undang-undang sedia ada.

“Pada masa yang sama, skop rang undang-undang ini luas dan eksklusif bagi menangani kesalahan-kesalahan mengenai berita tidak benar secara menyeluruh dan efektif,” ujarnya.