Azalina Othman Said

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, langkah itu bertujuan memberi ruang budi bicara kepada hakim dalam menjatuhkan hukuman.

Menurut beliau, hakim sete­rusnya boleh menetapkan hukuman yang bersesuaian ke atas kes-kes di mana pesalah sebenarnya lebih wajar hanya dihukum penjara.

“Tetapi mungkin peruntukan yang sedia ada menyebabkan hakim tiada pilihan selain menjatuhkan hukuman mati.

“Justeru, mesyuarat Kabinet pada 1 Mac lalu bersetuju dan memutuskan bahawa pindaan dibuat kepada Seksyen 39B akta tersebut,” katanya dalam jawapan bertulis yang diedarkan di bangunan Parlimen baru-baru ini.

Beliau menjawab soalan P. Kas­thuriraani (DAP-Batu Ka­wan) yang meminta Perdana Menteri menyatakan tentang pindaan kepada Seksyen 39B akta tersebut yang memberikan kuasa kepada mahkamah untuk menjatuhkan hukuman selain daripada hukuman gantung mandatori.

Azalina menambah, kementerian serta agensi yang berkaitan seterusnya akan menyediakan Memorandum Kabinet yang baharu bersama-sama dengan cadangan pindaan kepada Akta Dadah Berbahaya 1952 untuk pertimbangan dan kelulusan Kabinet.

Dalam perkembangan ber­kai­tan, beliau memberitahu, seba­nyak 651 banduan yang juga rakyat tempatan telah dijatuhi hukuman gantung sampai mati di negara ini sejak 1992.

“Daripada jumlah itu, seba­nyak 398 orang disabitkan hukuman mati mandatori di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” jelasnya.