Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata, keputusan itu dicapai secara kolektif pada 10 Oktober lalu.

Katanya, susulan daripada keputusan itu, satu memorandum telah diedarkan kepada semua kementerian berkaitan untuk mendapatkan pandangan berkenaan.

LIEW VU KEONG
LIEW VU KEONG 

“Akta tersebut terdiri daripada Kanun Keseksaan (Akta 574), Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Akta Senjata 1960, Akta Penculikan 1961 dan Akta Angkatan Tentera 1972.

“Selain itu, Akta Industri Perkhidmatan Air 2006, Akta Perdagangan Strategik 2010 dan Akta Dadah Berbahaya 1952 antara lapan akta tersebut,” katanya dalam sesi pertanyaan-pertanyaan menteri dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Dr. Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) yang meminta kerajaan menyatakan pendirian mengenai pemansuhan hukuman mati sama ada akan memberikan pengecualian kepada jenayah kejam se­perti kes kematian seorang bayi berusia 11 bulan, Nur Muazara Ulfa Mohammad Zainal akibat didera fizikal dan seksual oleh suami penga­suhnya.

Lee Wuen juga mencadang­kan agar keputusan itu dihadapkan ke Jawatankuasa Khas Parlimen agar dapat dipertimbangkan dan mengalakkan penglibatan pemegang taruh.

Berhubung kes kematian Zara, Vui Keong berkata, kerajaan amat bersimpati dengan ahli keluarga mangsa dan me­ngucapkan takziah.

“Kerajaan sememangnya me­mahami penderitaan yang dialami ahli keluarga mangsa tetapi dalam perkara ini, kerajaan mengambil kira semua pandangan daripada semua pihak termasuk cadangan Yang Berhormat (YB),” katanya.

Pada sesi tersebut, Datuk Takiyuddin Hassan (Pas-Kota Bharu) turut mengemukakan soalan tambahan yang bertanyakan sama ada hukuman mati di bawah Seksyen 302 iaitu membunuh dengan niat juga dimansuhkan.

“Apabila timbul kes bunuh ekoran daripada rogol dan bunuh atau rompak dan bunuh, adakah hukuman mati akan dikekalkan sebagaimana kes pembunuhan bayi dan kanak-kanak,” soal Takiyuddin.