Nur Jazlan
NUR JAZLAN

Menurut Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed, hukuman sedemikian atau dalam istilah sebenarnya dalam pengawasan polis bukanlah sesuatu yang asing dalam undang-undang yang berbentuk pencegahan, dan individu yang dikenakan hukuman ini tidak diabaikan oleh kerajaan.

"Orang-orang yang diletakkan di bawah pengawasan polis ini dipantau oleh ketua polis balai dan dibantu untuk mendapatkan pekerjaan mengikut kesesuaian kemahiran dimiliki mereka," katanya ketika menjawab soalan Datuk William @ Nyallau Badak (BN-Lubok Antu) dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

William terdahulu mengajukan soalan sama ada kerajaan akan mengkaji semula program membanteras jenayah menerusi hukuman buang daerah yang menurutnya tidak berkesan dalam memberi pengajaran kepada penjenayah yang terlibat.

Nur Jazlan berkata, individu yang dikenakan hukuman sekatan itu juga diberikan peluang untuk mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi membantu keluarga mereka sekiranya berkelayakan.

Dalam pada itu, beliau menambah, adalah tidak adil untuk meletakkan kesalahan kepada individu yang dibuang daerah atau disekat bagi peningkatan kadar jenayah di sesuatu kawasan.

Katanya, individu yang dibuang daerah biasanya menjalani hukuman itu selama dua tahun dan akan mengikuti proses pemulihan sebelum dibenarkan pulang ke tempat asalnya selepas selesai proses itu.

Menjawab soalan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali (BN-Bagan Serai) yang ingin tahu statistik terkini pemenjaraan wanita yang terlibat dengan dadah, Nur Jazlan berkata sehingga 9 Oktober lepas, terdapat sebanyak 1,703 orang wanita dipenjarakan berkaitan kesalahan itu dengan 931 telah disabitkan, manakala 772 masih dalam reman. - BERNAMA